Dalam khutbah
Nabi Muhammad yang terakhir, baginda telah bersabda “Telah sempurna agama Islam
untuk kamu dan aku reda agama Islam itu agama kamu”. Ini jelas menunjukkan
bahawa agama Islam adalah agama yang sudah lengkap dan merangkumi setiap aspek
kehidupan manusia.
Ketika Islam
tersebar luas di Semenanjung Arab hingga
ke Eropah dan juga ke Asia, maka banyaklah mubaligh-mubaligh Islam dari
kalangan orang-orang Arab dan bukan Arab yang datang membawa agama Islam ke
sebelah Asia Tenggara sebagai pedagang menyebabkan Islam mula bertapak dan
berkembang pesat. Seperti contoh, Melaka menjadi pusat perdagangan yang mahsyur
dan kerajaan Melaka adalah kerajaan Islam.
Bermula dari
itu, timbullah perkahwinan campur dari pelbagai kaum antara Melayu tempatan
dengan pedagang-pedagang Arab dan India. Kepelbagaian kaum yang wujud hasil
dari perkahwinan campur ini banyak mempengaruhi dan menjadikan adat resam
masyarakat Melayu pada ketika itu begitu unik dan bercampur aduk dengan adat
atau budaya bangsa pendatang selain bangsa Melayu itu sendiri.
Adat ini
dibawa dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Jika P.Ramlee dalam
lagunya, menyatakan irama dan lagu tidak boleh dipisahkan, jika
dipisahkan, rosaklah lagu pincanglah irama. Maka, begitu jugalah adat
dengan agama.
Adat dan agama
bukanlah dua isu yang berbeza, bahkan keduanya adalah satu. Adat didefinasikan
sebagai pola kehidupan manusia dalam kelompok yang dibentuk, dihayati dan
diamalkan dalam hubungan sesama anggota kelompok.
Adat dibuat
dan ditentu oleh manusia, manakala budaya atau adat resam terus mengalami
perubahan, baik dari sudut geografi (seperti adat perpatih, dan temenggung),
waktu (seperti adat primitif dan masa kini), status sosial (bangsawan
atau rakyat), mahupun usia (adat orang tua dan muda). Adat seharusnya
berlandaskan kepada agama yang benar.
gambar hiasan
- sumber dari ehoza.com
Masyarakat
Melayu di Malaysia sinonimnya dikaitkan dengan Islam. Masyarakat Melayu Islam
seharusnya tidak keliru di antara adat dan agama supaya nanti tiada yang
mengatakan adat yang bercanggah dengan Islam itu adalah salah satu dari tradisi
agama Islam.
Adat resam Melayu berkait
dengan cara hidup Melayu itu sendiri, dari mula lahir seseorang anak hinggalah
anak itu berkahwin dan seterusnya berakhir dengan kematian.
Agama Islam
seharusnya membimbing adat resam atau budaya Melayu supaya berlandaskan agama
dan tidak mengamalkan kepercayaan karut, khurafat dan syirik kepada tuhan.
Dalam konteks
aqidah, khurafat bermaksud bidaah aqidah yang merupakan kepercayaan kepada
sesuatu yang menyalahi syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Ia juga boleh
diertikan sebagai amalan yang tidak mempunyai hakikat kebenaran. Selain itu ia
merupakan perkara tahyul yang pada kebiasaannya tidak boleh diterima oleh akal.
Seseorang itu boleh dianggap mengamalkan perkara yang khurafat apabila ia
berpegang dan beriktiqad dengan perkara-perkara yang bukan daripada ajaran
Islam, tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras.
Masyarakat
Melayu Islam wajib mempercayai bahawa Islam merupakan agama yang suci daripada
segala sesuatu yang tidak berfaedah dan Islam juga tidak menghendaki umatnya
hidup dalam dunia khayalan atau berbuat sesuatu yang karut lebih-lebih lagi
sekiranya ia bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
Firman Allah
S.W.T.:
Maksudnya :
Syaitan itu menjanjikan kepada kamu kefakiran dan menyuruh kamu dengan
kejahatan, tetapi Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripada-nya dan
kelebihan dan Allah maha luas pengetahuannya.
(Al-Baqarah ayat 268)
(Al-Baqarah ayat 268)
Ayat ini
mengingatkan bahawa matlamat syaitan adalah untuk memperdaya dan mengelirukan
manusia. Kepercayaan terhadap khurafat amat besar kesannya kepada umat Islam
kerana ia akan merosakkan aqidah hingga boleh membawa kepada kekufuran dan
syirik kepada Allah S.W.T.
Kepercayaan
kepada perkara-perkara khurafat seperti kuasa penyakit berjangkit, perkara
kepada burung hantu boleh membawa keburukan, atau bala’ bulan safar dan
lain-lain adalah satu anggapan buruk dan bidaah yang keji serta wajib dihindari
oleh umat Islam.
Sabda
Rasulullah S.A.W :
Maksudnya :
Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung hantu, tiada bala bulan
safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti engkau lari
dari singa.
(Riwayat Bukhari)
(Riwayat Bukhari)
Sesuatu bala’ atau musibah tidak akan terjadi kepada
manusia kecuali dengan kehendak Allah S.W.T. disamping sebab musabab kejadian
tersebut.
Namun begitu,
ada kalangan sesetengah masyarakat Islam yang masih mengamalkan amalan
berbentuk khurafat seperti mandi safar untuk menolak bala dan membersihkan
dosa, menyembah pantai untuk meminta agar mereka selamat apabila berada
dilautan, kepercayaan sesetengah orang tentang adanya sial seperti biawak yang
melintasi seseorang atau masuk ke dalam rumah dikatakan
kecelakaan akan menimpa, adalah karut semata-mata.
Begitu juga
dengan menepung tawar untuk menolak bala. Semua itu adalah kepercayaan khurafat
yang mesti dihapuskan.
Dari aspek
psikologi pula, sesiapa yang mempercayai khurafat fikirannya tidak bebas dan
berkembang kerana dibelenggu perasaan takut melanggar batas-batas dan
kepercayaan turun menurun.
Ia boleh
menyebabkan seseorang itu lemah akal dan imannya kerana kepercayaan terhadap
amalan khurafat tersebut telah menafikan kepercayaan kepada konsep qada dan
qadar Allah S.W.T. selain itu, ia boleh menjadikan seseorang itu malas
berusaha, mudah putus asa, tidak bertawakal kepada Allah S.W.T. dan tidak yakin
untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup.
Antara faktor
yang mempengarui wujudnya amalan khurafat dalam masyarakat Melayu Islam adalah
kerana kurangnya pengetahuan agama dimana sesetengah masyarakat Melayu Islam
tidak mempunyai pegangan yang kuat terhadap agama Islam kerana masih
mencampuradukkannya dengan kepercayaan-kepercayaan karut yang diterima
turun-temurun dari nenek moyang. Oleh itu, masyarakat Melayu Islam sepatutnya
sedar dan insaf dan kembali kepada Allah S.W.T. dan rasulnya dengan merujuk
kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Di samping
itu, masyarakat Melayu Islam mestilah memperkukuhkan keimanan kepada Allah
S.W.T. dengan menolak kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Tiada
konsep sial atau bertuah kerana orang yang beriman dan menurut perintah Allah
dan rasulnya itulah orang yang bertuah, manakala orang yang ingkar dan tidak
taat kepada Allah S.W.T. adalah orang yang akan mendapat kecelakaan.
Bulan Safar
adalah salah satu bulan di antara bulan-bulan Islam yang sama dengan
bulan-bulan yang lain, tiada bala’ atau sial dalam bulan Safar.
Banyak adat
resam masyarakat Melayu yang boleh dikupas satu persatu mengikut penilaian
agama, dan jika dinilai dari sudut agama Islam, banyak yang telah lari dan
terpesong.
Persoalannya
kenapakah masih ada masyarakat Melayu Islam yang masih lagi mengamalkan adat
resam yang nyata bercanggah dengan agama Islam yang dianuti? Pepatah ada
mengatakan bahawa“biar mati anak, jangan mati adat”, begitu sekali
ungkapan yang diberi menunjukkan bahawa adat resam telah sebati dalam pemakaian
kehidupan harian masyarakat Melayu sehinggakan ada yang tidak dapat membezakan
yang mana satu baik atau buruk untuk amalan seharian.